Maruah Diri Anugerah Tidak Ternilai

Sumber : Majalah Anis

Islam mengharamkan umatnya mendedahkan keaiban orang lain apatah lagi mendedahkan keaiban diri sendiri. Masyarakat Islam yang hakiki ialah sebuah masyarakat yang menjaga maruah individu, menyembunyikan keaiban manusia dan menghormati hak serta keistimewaan insaniah sebagai makhluk yang paling mulia ciptaan Allah SWT. Maruah oeribadi diri sendiri dan individu lain merupakan suatu hak anugerah Allah kepada setiap manusia yang tidak boleh sekali-kali diaibkan, dicerobohi dan didedahkan kepada umum. Hanya manusia yang buruk akhlak keji perilaku serta bejat pemikiran sahaja yang sanggup mendedahkan keaiban diri individu lain. Oleh sebab itulah Islam mengharamkan mengumpat, mengeji, mencaci, mencela, dan merendah-rendahkan martabat orang lain.

Firman Allah SWT : "Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji."
(Al-Humazah:1)

Mendedahkan atau mengaibkan maruah diri sendiri.

            Kisah Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa a.s. yang terdedah aurat mereka berdua setelah memakan buah dari pohon yang dilarang mereka mendekatinya sebagai pedoman serta pengajaran kepada kita semua umat manusia. Allah SWT menceritakan kisah mereka melalui firman-Nya : "Setelah mereka berdua memakan buah (pohon) tersebut, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing dan mereka mulai menutupnya dengan daun-daun dari syurga." (Al-A'raf:22)

            Pengajaran daripada ayat tersebut ialah setiap perbuatan mungkar dan maksiat yang melanggar tegahan Allah serta tidak menghiraukan larangan-Nya menyebabkan manusia mendedahkan keaiban dirinya sendiri. Perintah Allah seperti menutup aurat, solat, tidak mencuri, merompak, haram berzina, sombong, dan angkuh merupakan suatu bentuk larangan bagi menutup keaiban manusia yang dimuliakan Allah.
           
             Betolak daripada kenyataan inilah maka sesiapa sahaja yang melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah, seolah-olah mereka mendedahkan keaiban mereka sendiri. Seumpama satu hadis maksudnya : "Setiap umatku adalah dimaafkan (diampuni kesilapan kesalahannya) melainkan al-Muhajirin." Lalu sahabat bertanya "Siapakah muhajirin itu, wahai Rasul?" Lantas Baginda menjawab "Al-Muhajirin ialah orang yang melakukan dosa dan maksiat pada malam hari (sedangkan Allah menutupnya daripada diketahui orang lain) namun apabila siang, dia sendiri yang memberitahu kepada orang lain bahawa dia telah melakukan sekian-sekian pada malam semalam."

            Seseorang yang melakukan maksiat pada malam hari (atau tempat-tempat tersembunyi) sehingga tidak diketahui oleh orang lain melainkan dirinya sendiri sebenarnya masih terdapat inayah dan peliharaan Allah terhadapnya, namun apabila dia menceritakan kepada orang lain perbuatan maksiatnya itu seolah-olah dia berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Justeru, dosanya tidak diampuni.

Perkara kecil tapi dosa besar.

            Orang yang mendedahkan aurat sama ada secara langsung atau dalam laman sosial adalah orang yang membuka keaibannya sendiri kepada orang lain. Mendedahkan aurat sedangkan Allah SWT  memerintahkan ditutup atau dilindungi, bermakna kita sendiri yang menayangkan keaiban maruah kita. Sekalipun kita melihat perkara tersebut kecil, namun apabila ia membabitkan pelanggaran arahan Allah SWT maka ia adalah perkara besar yang perlu diberi perhatian. Berapa banyak perkara yang dilihat sebagai enteng atau kecil oleh manusia namun di sisi Allah SWT sebagai dosa besar.

Firman Allah SWT: "Dan kamu pula menyangkakannya perkara kecil padahal ia sisi hukum Allah adalah perkara yang besar." (An-Nur:15)

            Seseorang yang menutup aurat daripada pandangan umum namun mendedahkan aurat melalui laman sosial. Malah melalui laman sosial juga kadang-kadang lebih menimbulkan fitnah dan membangkitkan nafsu syahwat. Asas utama kepada arahan menutup aurat sebagaimana dianjurkan Islam ialah kerana menjaga maruah seorang perempuan dan juga mengelak berlakunya fitnah.

            Apa yang ditulis samaa seperti diucap. Kemajuan sains dan teknologi yang semakin pantas dengan berbagai-bagai peralatan moden sebagai penghubung kepada manusia merupakan suatu fenomena dan realiti yang perlu diakui kebaikan dan keburukannya adalah bergantung kepada manusia sebagai pengguna bukannya kepada peralatan itu sendiri. Manusia tetap diberi ganjaran pahala sekiranya menggunakannya kemajuan teknologi tersebut untuk manfaat dan juga kebaikan kepada manusia lain. Dalam masa yang sama manusia tetap berdosa sekiranya kemajuan teknologi sebagai perantaraan untuk menipu atau memanipulasi pemikiran manusia dengan berbagai-bagai bentuk penyebaran fitnah serta kelucahan. Apa yang ditulis, dicatat  serta diulas hukumnya sebagaimana yang diungkapkan dan diucapkan dengan lidah.

             Bunga-bunga bahasa, uslub yang diutarakan, lahjah yang dipaparkan sesungguhnya melambangkan keperibadian serta pemikiran empunya diri itu sendiri. Sebagaimana yang ditulis maka itulah yang difikirkan, apa yang dicatat maka itulah yang diyakini dan apa yang dipaparkan itulah bentuk pemikiran si penulis. Andai bahasanya bentuk 'hentam kromo' ia melambangkan dirinya yang tak pandai mengurus diri sendiri, apatah lagi untuk menguruskann masyarakat. Andai uslubnya kelucahan maka ia mencerminkan kebejatan serta kekejian pemikiran empunya penulisan itu sendiri.

3 cara menilai kecerdikan atau kebodohan.

             Kita dapat membaca atau melihat kecerdikan atau kebodohan manusia melalui tiga bentuk atau ciri menurut sahabat Rasulullah SAW, Muawiyyah r.a. iaitu percakapannya, sekiranya kita bercakap atau berbicara secara berhadapan dengannya, andainya dia berada jauh maka kita boleh menilai bentuk penulisannya dan sekiranya dia menghantar utusan sebagai ganti diri maka lihatlah kepetahan atau lenggok bahasa yang digunakan oleh utusan tersebut kerana dia melambangkan orang yang mengutus diri sendiri.

             Individu yang menulis dalam apa jua bentuk penulisan, sama ada buku, majalah, akhbar, blog atau laman sosial yang lain tetap akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak. Semua yang ditulis dan ditatap oleh manusia sama ada kebenaran atau kepalsuan, pastinya akan mendapat balasan pahala atau dosa, neraka atau syurga. Orang beriman asasnya adalah akal sebelum lidah sementara orang munafik lidah sebelum lidah, sementara orang munafik lidah sebelum akal.

             Oleh itu, maruah diri perlu diutamakan, ini kerana kemuliaan keluarga bermula daripada akhlak peribadi individu, manakala ketenteraman dan keharmonian masyarakat bertolak daripada kesedaran dan keinsafan seluruh keluarga yang menunjangi sesebuah masyarakat. Keprihatinan Islam menjaga maruah diri manusia dapat diperhatikan daripada syariah Islam yang mengharamkan perkara-perkara yang memabukkan seperti arak, dadah dan candu. Pengharaman perkara-perkara tersebut ialah kerana Islam menjaga jiwa atau nafsu seseorang. Justeru, Islam juga mengharamkan apa jua bentuk perbuatan, percakapan, persepekatan serta perbincangan yang bertujuan untuk merendahkan martabat atau orang lain.

             Untuk beramal dengan tuntutan Islam maka seseorang individu muslim seharusnya memiliki tiga perkara asas utama iaitu kefahaman, istiqamah dan juga kesabaran. Faham dengan agama yang dianuti bukan hanya mengikut atau menurut semata-mata, istiqamah yang berterusan dengan segala perintah dan larangan Allah SWT dan juga sebar yang benar demi mengharapkan keredhaan Allah SWT. Wallahualam.


SUMBER

Dr. Nik Yusri Musa
Pensyarah Kanan Pusat
Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah, UMK
nikyusri@umk.edu.my


Comments

P O P U L A R

BAHAYA NAFSU LELAKI 🔥

KELEBIHAN KALIMAH LAA ILAAHA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN TINGGAL DI KONDOMINIUM

KOLEKSI AYAT-AYAT UCAPAN HARI RAYA AIDILFITRI

PELIHARALAH DIRIMU WAHAI WANITA DARI MATA LIAR LELAKI

SUKAN TARIK TALI YANG MENYERONOKKAN

PENGALAMAN SERAM SEPANJANG DUDUK DI ASRAMA

PINJAMAN PENDIDIKAN MARA PTPTN YAYASAN NEGERI DAN LAIN²

TAMAN BANDARAYA PULAU PINANG LOKASI RIADAH PALING CANTIK, BERSIH, SELESA DAN BANYAK KEMUDAHAN

Apakah Titian Sirat ?